Bersedia untuk menyaksikan kilauan hijau apabila Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia”), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, memperkasa rangkaian penghantaran dengan penyerahan rasmi 136 van elektrik Maxus eDeliver 3 daripada Weststar Maxus dan rakan strategik pajakan, Yinson GreenTech.
Ini bukan sekadar naik taraf; ia adalah revolusi di atas roda. Langkah strategik ini mengukuhkan komitmen Pos Malaysia terhadap matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), selaras dengan aspirasi Malaysia ke arah masa depan rendah karbon dan cekap tenaga.
Kenderaan elektrik (EV) baharu ini akan menyertai armada sedia ada yang terdiri daripada 1,252 unit kenderaan elektrik dua roda dan 264 unit kenderaan empat roda, sekali gus menjadikannya armada kenderaan elektrik terbesar dalam sektor logistik negara. Usaha ini secara signifikan dapat mengurangkan pelepasan karbon dan memastikan penghantaran surat serta bungkusan dilakukan dengan lebih lestari.
Dengan acara yang diadakan bersempena dengan Hari EV Sedunia, majlis ini menandakan satu lagi langkah penting dalam perjalanan transformasi berterusan Pos Malaysia —termasuk usaha untuk menyediakan jejak logistik yang lebih hijau, mengukuhkan komitmen syarikat dalam mengurangkan pelepasan karbon, mencapai armada elektrik sepenuhnya menjelang 2030, dan mencapai status sifar bersih (net zero) menjelang 2050.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer berkata, “Kami bukan sekadar menghantar surat dan bungkusan, kami menyampaikan masa hadapan yang lebih cemerlang. Penambahan 136 van elektrik ke armada sedia ada kita merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Pos Malaysia ke arah masa depan yang lestari.
“Buat pertama kalinya, kami akan menghantar kenderaan elektrik ini ke lokasi-lokasi di Sabah dan Sarawak, memastikan bahawa kenderaan elektrik kami kini berkhidmat untuk rakyat di seluruh negara.
“Perkongsian strategik bersama Maxus dan Yinson GreenTech ini menghubungkan kami terus ke masa depan logistik. Ia merupakan kemenangan untuk pelanggan kami, untuk kakitangan kami, dan yang paling penting, untuk planet kita.
“Dengan setiap surat dan bungkusan yang dihantar, kami menyemai nilai pemeliharaan alam sekitar, tanggungjawab sosial, serta tadbir urus yang baik dalam setiap aspek operasi kami, dan ianya adalah satu keistimewaan untuk memimpin dengan penuh tanggungjawab dan inovasi,” katanya.